Blog EntryTanda-Tanda Sebelum MatiApr 20, '07 9:57 PM
for everyone

Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati.
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum hari mati.
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum hari mati.
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari sebelum hari mati.
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir.
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

 


Blog EntryPERINGATAN UNTUK WANITA Aug 15, '06 10:45 AM
for everyone


(Diambil dari sabda2 Rasulullah s. a. w.)

1. Wanita solehah adalah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh. 

2. Wanita apabila melaksanakan solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatan diri serta taatkan suaminya, berpeluanglah ia memasuki mana-mana
 pintu syurga yang dikehendakinya.
 
3. Saidatina Aisyah r. a. berkata : "Saya pernah bertanyakan Rasulullah s. a. w. tentang siapakah manusia yang terlebih berhak terhadap wanita?" Jawab Rasulullah
 s. a. w. : "Suaminya". Bertanya pula Aisyah : "Siapa pula terlebih berhak terhadap lelaki?". Jawab Rasulullah s. a. w. : "Ibunya".
 
4. Apabila kamu dipanggil oleh kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.
 
5. Sesiapa yang dikurniakan Allah wanita yang solehah, sesungguhnya ia telah dikurniakan separuh dari agamanya, maka yang separuh lagi hendaklah ia berbakti
(bertakwa) kepada Allah.

6. Sebaik-baik wanita ialah yang tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan mustahak. Wanita apabila keluar akan dipersonakan (digoda) oleh iblis.

7. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika Rasulullah
 s. a. w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk
  ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?". Rasulullah s. a. w. menjawab: "Bukankah kamu dapat
   melihatnya?."
  
8. Wanita yang keluar rumah dengan memakai bau-bauan berjalan di hadapan orang sehingga terhidu baunya, ia adalah berzina yakni seperti perempuan zina.

9. Tidak memuliakan wanita melainkan orang yang mulia dan tidak menghina mereka melainkan yang hina.

10. Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

11. Wanita itu boleh dikahwini dengan sebab hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Hendaklah kamu mendapatkan yang kuat agamanya,
 tentu ia akan memberi ketenangan kepada kamu.
 
12. Salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat perkahwinannya dan cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya (mas kahwin).

13. Wanita yang taatkan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama mana ia
masih taatkan suaminya dan diredhai (serta dipelihara akan sembahyang dan puasanya).

14. Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup 7 pintu neraka dan akan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang disukainya
dengan tidak dihisab.

15. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan rasa tersinggung hati suaminya, maka ia dimurkai Allah sehingga ia kembali bermanis muka dan tersenyum
mesra terhadap suaminya.

16. Ibnu Umar berkata : Telah datang seorang kepada Rasulullah S. A. W. lalu bertanya : "Apakah hak suami atas isteri?" Jawab baginda : "Tunaikan hajatnya sekalipun
 engkau di belakang unta, jangan berpuasa sunat melainkan dengan izin suami, jika engkau berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk isteri, jangan
 keluar malainkan dengan izinnya: jika keluar juga akan dilaknat oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga kembali kembali engkau ke rumah."

TIGA GOLONGAN DALAM NERAKA
(Dari sabda Rasulullah s. a. w.)

Dari Ali bin Abi Talib: "Aku mendengar Rasulullah s. a. w. bersabda: "Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahannam selama umur dunia tujuh kali, mereka ialah :
a- Orang yang gemuk tetapi kurus.
b- Orang yang berpakaian tetapi telanjang.
c- Orang yang alim tetapi jahil.

Orang yang gemuk kurus ialah mereka yang gemuk tubuhnya tetapi kurus ibadatnya.
Orang berpakaian telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama (seperti berpakaian nipis hingga terbayang tubuhnya atau terlalu ketat).
Orang alim jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan duniawi.

LARANGAN MELIHAT WANITA
(Dari sabda Rasulullah s. a. w.)

Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli.
Suatu hari ketika Rasulullah s. a. w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum).
Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?".
Rasulullah s. a. w. menjawab: "Bukankah kamu dapat melihatnya?."

 


Blog Entry7 Soalan untuk kenali IFCAug 8, '06 5:51 PM
for everyone

PENUBUHAN INTERFAITH COMMISSION

1. Apakah Interfaith Commission (IFC)?

IFC yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religious Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

2. Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC?

IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

3. Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC?

Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Kronologinya seperti berikut:


Pada 8 Ogos 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu idea penubuhan IRC berjalan dengan lancar.

Pada 8 Disember 2001 satu perayaan 'Festival of Rights' diadakan dengan tema 'Kebebasan Beragama'.

Pada 10 Disember 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai 'Kebebasan Beragama' dan menerbitkan satu artikel dalam jurnal INSAF.

Pada 17 Mac 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN, JUST dan Sisters In Islam termasuk Dr. Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimanapun Sisters In Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.

Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.

Mengemukakan deraf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC. Persidangan ini di anjurkan oleh suatu badan yayasan Kristian yang beribupejabat di Negara Jerman, iaitu Konrad Adeneuer Foundation (KAF).

4. Apakah matlamat penubuhan IFC?

Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.

5. Apakah tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC?


i. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

ii. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

iii. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

iv. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan sesorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

v. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

vi. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

vii. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

viii. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

ix. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

x. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

xi. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

xii. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

xiii. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

xiv. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

6. Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?

Berdasarkan deraf undang-undang penubuhan IFC, suruhanjaya ini jika ditubuhkan amat berbahaya kepada Islam dari sudut:

i. Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam

IFC jelas sebuah suruhanjaya anti Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam secara terang (tanpa berselindung). Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan – Freedom of Religion (Kebebasan beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campurtangan dalam urusan agama Islam. Campurtangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri.

ii. Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah

Norma-norma antarabangsa tersebut ialah:


Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948,

Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan oleh Malaysia pada 5 Julai 1995),

Konvensyen mengenai hak kanak-kanak,

Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama,

Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarga negaraan, sukukaum, agama dan bahasa minoriti,

Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.

Kesemua norma antarabangsa tersebut belum disahkan oleh Malaysia kecuali yang dinyatakan sebaliknya. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa tersebut tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa tersebut yang dicipta oleh manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan aqidah seorang Muslim.

iii. Orang Islam bebas melakukan apa sahaja

Manusia adalah bebas. Begitu juga orang Islam adalah bebas. Mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk mengamalkan ajaran agama lain tetapi masih boleh mengaku sebagai seorang Muslim atas nama kebebasan beragama. Kebebasan agama ini dijamin oleh norma antarabangsa di atas.

iv. Orang Islam bebas untuk murtad

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan 'setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama... (Artikel 18)'. Ini bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan oleh Tuhan tetapi ditentukan oleh manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan oleh norma antarabangsa.

v. IFC berhak menentukan status agama seseorang

Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang di antaranya adalah orang bukan Islam. Ini adalah campurtangan yang amat nyata dalam hal ehwal Agama Islam. Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada Islam kepada bukan Islam dengan alasan suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) deraf undang-undang IFC.

Tiada sebarang agama yang sanggup menerima campurtangan oleh mereka yang bukan penganutnya. Oleh yang demikian tidak pernah wujud badan seumpama IFC di mana-mana sahaja dalam dunia ini.

7. Apakah sikap kita sebagai Muslim?

Menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC. Kerajaan awal tahun ini telah mengumumkan penangguhan penubuhan IFC. Semua saluran perlu digunakan untuk menghalang penubuhan IFC. Para pelopor IFC ini tidak akan berdiam diri dengan penangguhan ini dan akan terus melobi semua pihak untuk menerima cadangan mereka. Ini terbukti apabila mereka menyokong sepenuhnya pengikut-pengikut Ayah Pin yang ingin murtad dan menyediakan khidmat guaman untuk menyaman pihak berkuasa dan membawa kes ini ke peringkat tertinggi.

Orang Islam perlu berwaspada dan jangan terpedaya dengan diayah bahawa tindakan mereka ini hanya satu dialog antara agama.

KAMI HARGAI KEPUTUSAN KERAJAAN MENANGGUHKAN SEBARANG TINDAKAN DALAM HAL INI. MALAH KAMI HARAP PENUBUHAN IFC DI TOLAK SAMA SEKALI. KAMI BERPENDAPAT PENUBUHAN IFC INI BOLEH MENIMBULKAN KETEGANGAN ANTARA AGAMA DAN MENGGUGAT KESELAMATAN NEGARA.

JIKA ANDA MENCINTAI ISLAM DAN BERHASRAT MEMELIHARA HAK-HAK MUSLIM, ANDA SEPATUTNYA MENYEBARKAN RISALAH INI. ANDA JUGA DIMINTA MENYUARAKAN PROTES INI KEPADA WAKIL RAKYAT ANDA.

ORANG ISLAM WAJIB SEDAR TENTANG ANCAMAN PENUBUHAN IFC.

Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan dan sumbangan dari YADIM dan ahli-ahli individu yang prihatin.

Ahli-ahli ACCIN terdiri dari:

Al-Hidayah, Belia PERKIM, GEPIMA, Islamic Information and Services, Islamic Outreach ABIM, JIM, MACMA, Persatuan Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa), Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Jam’iyah), Persatuan Ulamak Malaysia, RICOI, WAMY


Blog EntryMerenungi Kemunculan DajjalAug 7, '06 9:29 AM
for everyone
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: "Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: "Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya." Kemudian berkata: "Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?" Kami menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu."


Rasulullah s.a.w berkata lagi: "Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.

Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: "Makhluk apa engkau ini?" Binatang itu menjawab: "Saya adalah Al-Jassasah." Mereka tanya: "Apa itu Al-Jassasah?" Binatang itu hanya menjawab: "Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: "Siapakah anda?" Orang seperti raksaksa itu menjawab: "Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: "Siapa kamu ini?"Mereka menjawab: "Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.

"Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: "Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu."

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya." Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: "Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu," nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: "Keadaan apanya yang tuan maksudkan?" Orang besar itu menjawab: "Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?" Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: "Aku takut pokok itu tidak berbuah."

Orang besar itu bertanya lagi: "Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah." Mereka menjawab: "Tentang apanya yang tuan maksudkan?" Lelaki itu menjawab: "Maksudku airnya apakah masih ada." Mereka menjawab: "Airnya tidak susut." Lelaki itu berkata: "Air sungai itu disangsikan akan kering."

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: "Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?" Mereka menjawab: "Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah." Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?" Mereka menjawab: "Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab." Lelaki itu bertanya lagi: "Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?" Mereka ceritakan bahawaRasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.


Orang besar itu berkata lagi: "Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya." Kata orang besar itu lagi: "Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah telah aku jelajahi semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya."

Kata Tamim Al-Dariy lagi, "Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: "Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?" Mereka menjawab: "Ya, sudah ya Rasulullah." Rasulullah s.a.w berkata lagi: "Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur," kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur. Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.

Khutbah Rasulullah SAW tentang Dajjal

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.


"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu." di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di
syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya.

Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya.
Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: "Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya." Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikansebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita

© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help

Template design Copyright © 2005 Remi Prevost Some rights reserved.